Ahad, 17 September 2006

Pembinaan Kandang

Kandang boleh dibuat di atas tanah ataupun secara berlantai. Pembinaan kandang yang berlantai tinggi dari tanah adalah disyorkan kerana mempunyai sistem pengedaran udara yang baik dan juga senang dicuci.

1. Lantai
Di dalam pembinaan kandang, lantai yang dibuat hendaklah:
a. tahan lama - misalnya tahan dari semburan bahan kimia dan air kencing
b. mudah dicuci
c. tidak licin
d. tidak mencederakan
e. tidak mudah lembab

Lantai hendaklah dibuat dari bahan yang sesuai seperti beroti yang berukuran 1.5 s.m. (tebal) dan 3.5 s.m. (Lebar), buluh atau batang pinang yang dibelah, anak-anak kayu dan juga papan biasa. Supaya kencing dan najis senang jatuh ke bawah, kayu atau papan lantai diatur dengan jarak 1.2 - 1.8 s.m. tiap-tiap satu. (Jika terlampau luas berkemungkinan kaki anak kambing akan tersepit).

Luas kawasan lantai untuk satu ekor kambing dewasa ialah di antara 0.7 - 1.4 meter persegi (8 - 15 kaki persegi).

CONTOH-CONTOH SEBAGAI PANDUAN;

i. Pelan kandang yang boleh memuatkan 80 - 100 ekor kambing beserta bilik pengasingan berdasarkan kepada fungsi, umur dan juga jantina.

ii. Kandang kambing berlantai bawah boleh juga digunakan untuk menempatkan kambing pada malam hari.

iii. Pelan kandang kambing 1

iv. Pelan kandang Kambing 2

v. Pelbagai rupa bentuk bumbung

2. Dinding
Dinding hendaklah dibuat dari bahan yang tahan lasak. Ini adalah kerana kambing mempunyai tabiat suka menanduk, menggigit dan menggeser dinding. Bahan-bahan yang boleh digunakan ialah buluh, kayu bulat (kayu hutan) dan papan. Dinding boleh dibahagikan kepada dua bahagian:

a. Dari lantai sehingga kira-kira 1 m ke atas boleh dibuat daripada papan, dengan jarak yang lebih rapat antara 1.5 - 2.0 s.m. yang memerlukan ruang yang agak tertutup untuk mengelakkan kesejukan.

b. Di atasnya boleh digunakan kayu beroti, buluh atau nipah dan anak-anak kayu. Jaraknya di antara satu dengan yang lain 9 - 12 s.m.

3. Bumbung
Bahan-bahan yang boleh dibuat bumbung termasuklah:

a. Nipah - bagus untuk sistem pengedaran udara dan lebih menyejukkan. (Pada umumnya terdapat kejadian kambing memakan serpihan nipah).

b. Zink - mudah dipasang tetapi boleh menyebabkan suhu kandang terlalu panas, terutamanya jika tidak ada pokok-pokok pelindung sekitarnya. Jika menggunakan atap zink, ruang di antara lantai dan bumbung hendaklah ditinggikan untuk pengedaran udara yang baik.

c. Asbestos - bahan yang paling baik untuk dijadikan bumbung tetapi ianya mahal sedikit. Ia tidak saja menyejukkan tetapi juga tidak mudah terbakar.

d. Aluminium - dapat mengurangkan kesan haba tetapi harga agak mahal.

4. Palung Makanan
Palung makanan boleh dibuat sama ada di bahagian luar ataupun bahagian dalam iaitu di sepanjang jalan tengah. Lebar palung bahagian bawah ialah 0.3 m dan 0.45 m di bahagian atas. Bagi kandang yang tiada palung makanan, rumput boleh diikat atau digantung di tengah-tengah kandang kira-kira 0.5 m dari paras lantai. Bekas abuk (konsentrat) boleh dibina di bawah palung rumput atau di mana-mana tempat di dalam kandang atau diisi di dalam besen. Air yang cukup dan bersih hendaklah disediakan di dalam baldi atau besen.

RINGKASAN
Bagi merendahkan kos membina kandang kambing, bahan-bahan digunakan mestilah murah dan tahan lama. Sumber-sumber asli seperti buluh, kayu bulat, nipah rumbia dan sebagainya boleh juga digunakan. Kambing memerlukan ruang lantai 0.7 - 1.4 meter persegi ( 8 - 15 kaki persegi) untuk seekor. Kandang untuk penternakan secara komersil memerlukan kos yang tinggi.

**sumber
JPHPK

Tiada ulasan: