Khamis, 26 Februari 2009

Warga Baru Peranakan tempatan

Demi membantu penternak kecil yang memerlukan pasaran kambing boer secara kecil-kecilan, Casserose dengan ini telah menjalinkan hubungan dengan Bina Ternak Agro Farm (BTAF).

Casserose dengan berbesar hati membeli kambing boer betina yang dibekalkan oleh BTAF. Kambing yang dibekalkan merupakan peranakan tempatan. Dari segi kualitinya, jauh tak ubah seperti kambing yang dibawa masuk dari Australia. Namun, kelebihannya adalah kerana peranakan tempatan lebih tahan daripada penyakit dan peratusan kebarangkalian untuk hidup lebih tinggi. iaitu hampir 70% berbanding kambing import iaitu 40%.

Berbanding dengan harga yang dibeli dari Australia, harga yang ditawarkan adalah sangat berpatutan. Kami menghargai jasa BTAF. Terima kasih.

Sejak penubuhan Casserose, memang menjadi niat kami untuk membantu penternak-penternak tempatan dalam pemasaran kambing. Ini kerana, jaringan antara penternak tempatan adalah lebih penting dan besar faedahnya kepada industri kambing kita.

Oleh itu, tidak perlu lagi untuk kita bergantung bekalan daripada Australia, sedangkan penternak sana kadang-kadang tidak jujur dalam membekalkan baka. Lain yang diminta, lain yang sampai.

Siapa lagi yang ingin membantu penternak bumiputera, jika bukan sesama kita! Casserose komited dengan cara ini.

Jumaat, 6 Februari 2009

Terkini Di Casserose

Casserose merupakan syarikat yang telah lama mengorak langkah dalam menjayakan penternakan kambing boer yang berjenama Casserose secara komersial. Sasaran untuk mengkomersialkan Kambing Boer Casserose, adalah untuk menyahut seruan kerajaan dalam RMK-9 yang ingin menjadikan sektor pertanian sebagai salah satu enjin ekonomi negara yang utama.

Membuktikan tujuan tersebut, Casserose telah melakukan pelaburan yang besar dalam industri ini. Di dalam negara, Casserose mempunyai kompleks penternakan Kambing Boer Casserose di Segamat, Johor yang boleh menempatkan 3000 ekor kambing boer pada tahun ini. Namun begitu sasaran syarikat adalah untuk menjadi syarikat yang paling utama dalam membekal baka boer tempatan. Oleh itu, sasarannya kepada 5000 ekor menjelang 2010.

Dalam masa yang sama, kami juga mempunyai sebuah lagi ladang di Pontian, Johor. Ladang ini boleh menempatkan lebih daripada 800 ekor ternakan kambing yang berpotensi untuk dijadikan pusat pemasaran kambing setempat di bahagian selatan tanahair. Dalam masa yang sama berpotensi dijadikan pusat sembelihan kambing setempat untuk bekalan daging kambing segar.

Bukan itu sahaja, Casserose juga telah melakukan pelaburan secara sistematik dan agresif dengan membeli sebuah Ladang Ternakan Kambing Boer di Perth, Australia yang berkeluasan hampir 2000 hektar. Ladang tersebut telah beroperasi sejak November 2008 dan kini telah terdapat lebih 1000 ekor kambing boer yang berkualiti tinggi untuk program pembiakan secara sistematik dan berteknologi. Ladang ini merupakan pembekal utama kami untuk baka Kambing Boer Casserose berkualiti dalam negara.