Jumaat, 29 September 2006

Pengurusan Kambing

Pengurusan kambing adalah bermula dari kelahiran sehinggalah sampai ianya bunting dan beranak kembali. Pada amnya pengurusan boleh dibahagikan kepada peringkat-peringkat seperti berikut:

a. Lahir hingga cerai susu (3 atau 4 bulan)
b. Cerai susu hingga bunting
c. Pengurusan kambing dewasa
d. Pengurusan kambing bunting hingga kelahiran
e. Pengurusan baka-baka jantan
f. Pengurusan semasa penggemukan untuk dijual

1. Lahir hingga 3 bulan
Anak-anak kambing hendaklah diberi susu permulaan atau kolostrum dalam masa 6 jam selepas dilahirkan. Susu awal ini dikeluarkan oleh ibunya untuk beberapa hari selepas beranak. Kebiasaanya anak-anak kambing ini dapat menghisap susu dengan sendiri. Jika gagal, susu awal ini hendaklah diperah dan diberikan melalui botol susu kepada anak-anak kambing. Pengambilan susu awal ini adalah penting kerana ianya mengandungi banyak zat-zat dan paling penting ialah antibodi yang boleh menolong anak-anak kambing ini melawan penyakit. Susu julung juga membantu merangsang sistem cernaan supaya bekerja dengan sempurna.

Pusat anak-anak kambing hendaklah disapu dengan 'iodine' supaya cepat kering, selain dari itu ia juga boleh menghindar dari jangkitan kuman. Jika basah ianya membiak kuman dan anak-anak kambing senang dijangkiti penyakit.

Anak-anak kambing bergantung kepada susu ibu selama 3 hingga 4 bulan. Selepas 2 bulan atau lebih pengambilan susu akan berkurangan dan anak kambing mula meragut sedikit-sedikit. Selepas 3 atau 4 bulan, anank-anak kambing boleh dicerai susu dan di mana ianya akan memakan rumput sepenuhnya.

Penceraian susu hendaklah dibuat secara beransur-ansur, bilamana makanan tambahan, rumput dan juga susu di peringat peralihan diberi. Selepas lahir anak-anak dan ibu tidaklah dibiarkan meragut. Selepas 4 atau 6 minggu mereka bolehlah dilepas meragut di kawasan berdekatan supaya pengawasan senang dijalankan.

Kandang tempat menempatkan ibu yang beranak dan anak yang baru lahir hendaklah sentiasa kering dan bersih. Tempat yang lembab boleh membawa kesejukan. Anak-anak kambing adalah peka terhadap kesejukan dan mudah terkena demam paru-paru.

Jika tidak dapat memberi susu awal, satu campuran susu dengan sedikit minyak sayur dan putih telur boleh digunakan untuk merangsang pergerakan usus.

Anak-anak kambing ini bolehlah diberi susu dari ibu yang lain dengan memerah dan menyusu melalui botol atau terus dari ambing jika ianya mahu. Susu tepung juga boleh dibancuh dan diberikan. Susu lembu yang dicampurkan dengan 1 - 2 titik minyak ikan setiap kali hendak menyusu. Susu bolehlah diberi sebanyak 170 gm (lebih kurang 1 cawan teh) setiap 4 jam sekali. Jumlah ini bolehlah ditingkatkan mengikut umur.

2. Selepas Cerai Susu Hingga Dewasa
Selepas cerai susu dalam lingkungan 3 - 4 bulan, anak-anak dipisahkan dari ibu. Mereka diasingkan ke kandang dan tempat ragutan yang berlainan. Dalam masa itu urusan pemakanan hendaklah dijaga baik-baik kerana berat badan biasanya mudah turun. Ini adalah kerana tekanan (stress) akibat perceraian dari ibu dan juga susu.

Kumpulan anak-anak jantan eloklah diasingkan daripada betina, ini adalah kerena apabila meningkat umur 9 bulan anak-anak kambing ini sudah sampai umur untuk membiak. Anak-anak yang tidak mahu dijadikan baka bolehlah dijual.

3. Pengurusan Kambing Dewasa
Penjagaan terhadap kambing-kambing dewasa adalah sama dengan anak dari 4 bulan hingga 1 tahun.

4. Ibu Bunting dan Selepas Kelahiran
Ibu-ibu yang telah bunting dan baru melahirkan anak hendaklah diasingkan untuk menjauhkan anak-anak dari terpijak oleh yang dewasa. Ini juga boleh menyenangkan program pengurusan. Ibu-ibu bunting memerlukan pengurusan rapi sebulan atau 2 minggu sebelum dan selepas beranak, makanan yang bermutu dan lebih hendaklah diberikan kepada mereka. Ini adalah untuk menentukan kesihatan ibu dan anak-anak. Guni yang bersih boleh digunakan untuk mengalas bahagian lantai atau dinding untuk melindungi anak dari kesejukan.

5. Baka Jantan
Baka-baka jantan biasanya dikandangkan berasingan daripada yang betina. Mereka dicampurkan hanya bila hendak dibiakkan. Setiap ekor kambing jantan baka biasanya disimpan dalam kandang berasingan supaya pergaduhan dan kecederaan dapat dielakkan.

Setiap ekor jantan bolehlah digunakan untuk 20 ekor betina.

Anak-anak jantan untuk dijadikan baka hendaklah dijaga dengan baik dari segi makanan dan juga kesihatan. Ternakan ini memerlukan banyak senaman dan pergerakan. Jika ini tidak mencukupi ianya boleh menjadi malas dan tidak cergas. Ternakan berkenaan hendaklah mempunyai kaki yang baik dan juga kuku hendaklah sentiasa dipotong supaya ianya tidak mengganggu semasa mengawan dan menjejas kesihatan

Anak-anak jantan boleh mengawan dan membiak dalam lingkungan umur 9 bulan, tetapi dinasihatkan tidak digunakan sebelum umur setahun.

6. Pengurusan Penggemukan
Jika kambing-kambing dipelihara hanya untuk digemukkan dan dijual untuk daging, penjagaan kambing-kambing ini adalah mudah.

Faktor penting di dalam pemeliharaan cara begini adalah makanan. Makanan yang hendak diberi mestilah yang mempunyai zat yang tinggi dan baik.

Anak-anak kambing boleh digunakan untuk penggemukan apabila umur telah meningkat enam bulan. Ia memerlukan masa di antara enam bulan hingga setahun di mana berat badan mencapai 20 - 25 kg. Ini bergantung kepada jenis makanan dan keupayaan kenaikan berat badan kambing tersebut. Dalam masa satu atau dua bulan sebelum dijual, adalah lebih baik jika diberikan makanan berkualiti dan mempunyai nilaian protein yang tinggi.

7. Pengurusan Kambing Sakit/Cedera
Kambing yang sakit atau cedera perlu diasingkan dari kumpulannya dan diberi rawatan segera. Pihak Pejabat Perkhidmatan Haiwan wajib dihubungi untuk mendapatkan rawatan atau nasihat selanjutnya.

Tiada ulasan: