Ahad, 8 Oktober 2006

Pengurusan Am

Pengurusan Am merupakan satu aspek yang perlu diutamakan juga, ia meliputi pengurusan:

a. Kawasan
b. Buruh
c. Jadual Pengurusan
d. Pengenalan Ternakan
e. Pengasian
f. Mematikan Tanduk
g. Memotong Kuku
h. Menggunting Bulu
i. Kawalan Kutu

1. Kawasan
Kebersihan kawasan kandang dan persekitaran perlu diutamakan setiap masa. Perparitan atau longkang di sekeliling kandang dan kawasan mesti berfungsi dengan sempura. Najis yang dibuang atau dikumpulkan jangan terlalu dekat dengan kandang. Kawasan pastura untuk ragutan atau potong perlu dipagari dengan kukuh. Dengan ini memudahkan pengurusan meragut dan mengelakkan percampuran yang menyebabkan perkahwinan tidak diingini.

2. Buruh
Buruh samada yang diupah atau sendiri mestilah diuruskan supaya kerja-kerja lebih teratur dan mudah. Sebagai contohnya sementara menunggu kambing dilepaskan meragut, bersihkan dahulu palung makanan dan memotong rumput. Apabila kambing dilepaskan sahaja, kandang pula perlu dibersihkan. Begitulah seterusnya kerja-kerja lain haruslah diuruskan secara teratur.

3. Jadual Pengurusan
Penyelarasan bagi kerja-kerja jangkamasa panjang dan tugas harian perlu diatur dari semasa ke semasa. Jadual pengurusan untuk jangka masa panjang seperti mengkacuk, beranak, mematikan tanduk, mengkasi, memotong kuku, kawalan kutu dan pemberian ubat cacing perlu diatur dengan sistematik. Jadual lain seperti jangkamasa meragut di sesuatu petak, membaja, meracun rumpai mestilah diatur agar pembahagian jentera, buruh dan alat-alat lain dapat dibuat dengan tertib.

4. Pengenalan
Sekeping kad rekod ternakan perlu disediakan apabila sahaja seekor anak dilahirkan. Penandaan boleh dibuat samada dengan memasang tag plastik ataupun ditattoo di telinganya supaya mudah untuk pengenalan.

5. Pengasian
Pengasian anak kambing jantan yang tidak dijadikan baka boleh dibuat pada umur 4 - 5 minggu. Proses ini dapat mempercepatkan kadar tumbesaran, paling sesuai jika digemukkan untuk penjualan, juga dapat mempertinggikan kecekapan pengurusan pembiakbaik.

6. Mematikan Tanduk
Pertumbuhan asas tanduk perlu dimatikan di peringkat anak untuk mengurangkan kecederaan antara sesamanya, disebabkan perkelahian atau kemalangan. Untuk tanduk yang telah tumbuh, ianya perlu dipotong.

7. Memotong Kuku
Kambing yang tidak dilepaskan keluar dalam jangkamasa yang panjang menyebabkan kukunya menjadi panjang. Ini akan menyusahkan ia berjalan dan menyebabkan jangkitan penyakit kalau tidak dibersihkan. Maka itu, kukunya perlu dipotong dan dibersihkan dari kotoran.

8. Menggunting Bulu
Kambing kacukan terutamanya mempunyai bulu yang agak panjang perlulah dibersihkan. Bulu yang kotor menjadi sumber penyakit dan tempat pembiakan kutu. Bulu di sekitar tetek perlu digunting untuk memudahkan pemerahan juga mengelakkan bulu bercampur dengan susu. Gunakan gunting elektrik atau tangan untuk tujuan ini.

9. Kawalan Kutu
Masalah kutu tidak akan selesai bagi kambing dalam kelompok yang besar dan bercampur antara sesamanya. Kambing diberikan samada semburan ubat kutu atau dimandikan di dalam kolam mandi kutu, bagi membunuh kutu yang bersarang pada badan kambing.

RINGKASAN
Pengurusan yang baik dan sistematik dapat meninggikan prestasi pengeluaran ternakan. Pengurusan terbahagi kepada dua iaitu pengurusan ternakan dan pengurusan am. Pengurusan ternakan bermula dari lahir, dewasa, bunting dan beranak. Penjagaan yang rapi perlu dibuat kepada anak kambing yang baru lahir, membesar dan ibu yang bunting. Pengurusan ama pula meliputi pengurusan kawasan, buruh, jadual kerja, pengenalan, pengkasian, mematikan tanduk, memotong kuku, menggunting bulu dan kawalan kutu.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

aduhhh...nie coretan pakar perihal kambing yer...? menarik...

Rie berkata...

aciq...

cut & paste aje nih.. hahaha